Kehidupan...

Kehidupan umpama perjalanan sebuah kereta yang bergerak ke destinasi yang hendak di tuju dan akan berhenti sekiranya telah sampai...
Begitu la kehidupan...akan berhenti bila tiba masanya...

Jaga Diri...Jaga Hati...Jaga Iman...Hiasi Peribadi..
PERUBAHAN BERMULA DARI DIRI SENDIRI...
Photobucket

Tuesday, June 1, 2010

Pembuangan Bayi..


Hari ini gejala sosial di kalangan anak muda semakin menjadi-jadi. Gambaran ini menunjukkan kehidupan anak muda kini semakin bebas dan perangai anak muda semakin berada di tahap yang kritikal. Hampir setiap minggu kita akan dikejutkan dengan berita berkenaan dengan perbuatan mahupun salah laku yang dilakukan oleh anak muda pada zaman ini.

Isu yang semakin hangat kini adalah berkenaan dengan masalah pembuangan bayi. Jika dulu kita dikejutkan dengan penculikan kanak-kanak bawah umur, kini isu pembuangan bayi menjadi topik hangat di dada akhbar. Baru-baru ini, penulis sempat membaca beberapa keratan berita mengenai kes pembuangan bayi. Sungguh menyayat hati penulis. Seorang bayi telah ditanam hidup-hidup oleh ibunya sendiri sehinggalah bayi berkenaan ditemui mati oleh pekerja yang menggali tanah. Seorang bayi ditinggalkan dalam keadaan masih bertali pusat dan akhirnya menemui ajal ketika berada di hospital. Begitulah kejamnya anak muda zaman sekarang. Masa buat rasa 'sedap', tak fikir masa depan. Bila dah 'kembung' perut mulalah nak rancang gugurkan. Bila sudah melahirkan nak buang pula. Jika kita fikir-fikirkan, tabiat dan kelakuan anak muda kini lebih buruk daripada binatang.

Penulis berasa tiba masanya penguatkuasaan undang-undang lebih ketat dilaksanakan untuk membendung gejala yang tidak sihat ini. Jika kita lihat program-program yang melibatkan anak muda masih kurang. Kebanyakkan program hanya dilaksanakan oleh mereka yang aktif di institusi pengajian tinggi, sekolah dan juga persatuan-persatuan berdaftar dan NGO. Walaupun hari Belia telah berlalu, namun tahap kesedaran anak muda kepada isu semasa masih berkurang. Kebanyakan anak muda tertumpu kepada hiburan. Jika kita lihat di IPT, sekiranya program berbentuk hiburan, ramai anak muda akan kita lihat menggerumuni kawasan berkenaan berbanding sekiranya ada program berbentuk ilmiah. Penulis tidak bercakap kosong, ini berdasarkan pengalaman penulis sendiri ketika berada dalam program-program hiburan yang dianjurkan oleh IPT mahupun agensi tertentu. Penulis belum melihat satu program hiburan yang boleh menarik anak muda untuk menginsafi dan mengetahui keburukan masalah sosial yang mereka tidak patut terlibat. Penulis berasa tertarik dengan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh aktivis pelajar sama ada di Semenanjung mahupun Sabah atau Sarawak. Program yang dianjurkan walaupun tidak sehebat program yang dianjurkan oleh kementerian-kementerian, namun impak atau kesannya terhadap remaja khususnya pelajar sekolah menengah sungguh luar biasa. Penulis bukan melihat dan memihak mana-mana pihak, apa yang penulis nyatakan berdasarkan apa yang penulis alami sendiri dan pengalaman yang dikongsi dengan adik penulis sendiri. Cuma apa yang penting, pelbagai pihak terutamanya kerajaan perlu melakukan satu anjakan dan perubahan yang drastik terutamanya dalam bidang pendidikan. Bak kata pepatah "melentur buluh biar dari rebungnya".


Dua tiga kucing berlari,
anak emak dijaga teliti,
jaga diri jaga hati,
hindari zina dari diri.

Firman Allah dalam Surah Al-Israa’ ayat 32 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk”.



"Melakar masa depan bersama Islam"