NABI Ibrahim dan Siti Sarah sudah lama
berumah tangga, namun tidak dikurniakan zuriat. Siti Sarah mencadangkan
supaya Nabi Ibrahim berkahwin seorang lagi dan merestui Siti Hajar
menjadi madunya.
Pada mulanya, Nabi Ibrahim
keberatan kerana cintanya terhadap Siti Sarah tidak luntur. Namun, Siti
Sarah berkeras dan akhirnya, Nabi Ibrahim bersetuju memperisterikan Siti
Hajar.
Apabila Siti Hajar hamil, Nabi
Ibrahim amat gembira dan mengharapkan Siti Sarah turut berasa gembira.
Namun, berita kehamilan Siti Hajar itu membuatkan madunya cemburu.
Kian hari, rasa cemburunya kian
menebal, terutama selepas kelahiran Ismail hingga Siti Sarah mendesak
suaminya membawa Siti Hajar dan anaknya jauh dari tempat itu.
Nabi Ibrahim dan Siti Hajar serta anak mereka lantas menuju ke Baitul Haram.
Siti Hajar adalah lambang wanita
sejati yang taat kepada suami dan perintah Allah. Segala kesukaran,
kepahitan, keresahan yang ditempuh Siti Hajar bersama anaknya kecilnya,
Ismail ketika ditinggalkan Nabi Ibrahim di tengah-tengah padang pasir
kontang, adalah lambang kesetiaan dan kepatuhan seorang isteri kepada
peraturan suaminya.
Inilah iktibar kisah daripada
al-Quran yang menggambarkan seorang isteri contoh yang menjadi lambang
kewanitaan sejati. Kalau wanita Islam hari ini bersemangat kental
seperti Siti Hajar, tentulah mereka akan sentiasa bahagia dan tidak akan
mengenakan sekatan tertentu terhadap suami.
Contoh yang ditunjukkan oleh
Siti Hajar, yang sanggup menempuh pelbagai kesusahan hidup semata-mata
kerana taatkan perintah Allah dan suaminya, tidak syak lagi suatu contoh
cukup baik untuk diteladani.
Kisah ketabahan Siti Hajar,
turut mempunyai kaitan dan falsafah penting ketika umat Islam menunaikan
ibadat haji sekarang. Sebab itulah bagi jemaah yang berada di tanah
suci, sama ada ketika mengerjakan umrah atau haji, mereka difardu atau
dirukunkan selepas tawaf di Batitullah al-Haram, menunaikan sai iaitu
berulang alik dari Safar ke Marwah sebanyak tujuh kali. Ia bertujuan
mengingati kembali falsafah penderitaan yang ditanggung Siti Hajar itu.
Berikut adalah sebahagian kisah pengorbanan Siti Hajar.
Dalam bahang terik mata hari di
tengah-tengah padang pasir yang kering kontang, Nabi Ibrahim, menunggang
unta bersama Siti Hajar. Perjalanan agak sukar, namun hal itu tidak
memberi kesan kepada mereka. Yang lebih diharapkannya ialah ketabahan
hati untuk meninggalkan Siti Hajar dan bayinya di bumi gersang itu.
Sepanjang perjalanan, dikuatkan
hatinya untuk terus bertawakal. Dia yakin, Allah tidak akan menganiaya
hamba-Nya. Pasti ada hikmah di sebalik perintah itu. Selepas kira-kira
enam bulan perjalanan, tibalah mereka di Makkah.
Nabi Ibrahim memilih sebuah
lembah di tengah-tengah padang pasir. Nabi Ibrahim turun dari untanya
dan mengikat tali unta di sebatang pokok tamar.
Bahang sinaran matahari bukan
kepalang. Tekaknya yang dari tadi kehausan, sedikit pun tidak
diendahkannya. Yang difikirkannya, bagaimanakah cara memberitahu
isterinya mengenai perintah Allah itu. Sepanjang perjalanan lidahnya
seolah-olah kelu untuk berkata-kata.
Selepas Siti Hajar diturunkan,
tanpa berlengah lagi Nabi Ibrahim bersiap sedia untuk pergi. Apabila
Siti Hajar melihat perlakuan suaminya, yang bergegas-gegas mahu pergi,
ditariknya jubah suaminya sambil merayu-rayu:
“Wahai suamiku, apakah aku akan ditinggalkan bersama anakmu di sini?”
Tanpa memandang wajah isterinya,
Nabi Ibrahim hanya mampu menganggukkan kepala. “Oh… kiranya kerana
dosaku menyebabkan engkau bertindak begini, ampunkanlah aku. Aku tidak
sanggup ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang
ini.”
Nabi Ibrahim menjawab: “Tidak wahai isteriku, bukan kerana dosamu…”
Siti Hajar bertanya lagi: “Kalau
bukan kerana dosaku, bagaimana dengan anak ini… Anak ini tidak tahu
apa-apa. Tergamakkah engkau meninggalkannya?”
Kepiluan dan kesedihan Nabi
Ibrahim, hanya Allah yang tahu. Katanya: “Tidak, bukan itu maksudku.
Tapi apa dayaku… ketahuilah, ini semua adalah perintah Allah.”
Apabila disebut perintah Allah,
Siti Hajar terdiam. Kelu lidahnya untuk terus merayu. Terbayang olehnya
penderitaan yang bakal dihadapi sendirian nanti. Dia yakin kalau tidak
kerana perintah Allah, masakan sanggup suaminya meninggalkan dia serta
anaknya di situ.
Siti Hajar sedaya upaya
menguatkan pergantungan dan pertolongan kepada Allah. Namun hatinya
masih tertanya-tanya, apakah hikmah di sebalik perintah Allah itu?
Ketika gelodak hatinya semakin memuncak, dengan rahmat Allah,
disingkapkan penglihatan Siti Hajar ke suatu masa akan datang.
Digambarkan tempat itu nantinya akan didatangi oleh manusia dari serata
pelosok dunia, yang berduyun-duyun datang untuk membesarkan Allah.
Melihat peristiwa itu,
terpujuklah hatinya. Cinta dengan Allah, dengan menegakkan agama-Nya,
perlukan pengorbanan. Lalu dengan hati yang berat tetapi penuh
keyakinan, Siti Hajar berkata kepada suaminya: “Jika benar ia adalah
perintah Allah, tinggalkanlah kami di sini. Aku reda ditinggalkan.”
Suara Siti Hajar mantap sambil mengesat air matanya.
Ditabahkan hatinya dengan
berkata: “Mengenai keselamatan kami, serahkanlah urusan itu kepada
Allah. Pasti Dia akan membela kami. Masakan Dia menganiaya kami yang
lemah ini.”
Siti Hajar menggenggam tangan
suaminya. Kemudian dikucupnya, minta reda di atas segala perbuatannya
selama mereka bersama. “Doakanlah agar datang pembelaan Allah kepada
kami,” kata Siti Hajar.
Nabi Ibrahim terharu dan
bersyukur. Isterinya, Siti Hajar memang wanita terpilih. Dia segera
mengangkat tangannya untuk berdoa: “Ya Tuhan kami. Aku tinggalkan anak
dan isteriku di padang pasir yang tandus tanpa pohon berkayu dan
buah-buahan. Ya Tuhan kami, teguhkanlah hati mereka dengan mendirikan
sembahyang, jadikanlah hati manusia tertarik kepada mereka, kurniakanlah
rezeki pada mereka daripada buah-buahan mudah-mudahan mereka bersyukur
kepada-Mu.”
Menitis air matanya mendoakan
keselamatan anak dan isteri yang dicintai. Hati suami mana yang sanggup
meninggalkan anak dan isteri di padang pasir tandus yang sejauh enam
bulan perjalanan dari tempat tinggalnya. Namun atas keyakinan padu pada
janji Allah, ditunaikan juga perintah Allah walaupun risiko yang bakal
dihadapi adalah besar.
Selesai berdoa, tanpa menoleh ke
arah isteri dan anaknya, Nabi Ibrahim terus meninggalkan tempat itu
dengan menyerahkan mereka terus kepada Allah. Tinggallah Siti Hajar
bersama anaknya yang masih merah dalam pelukannya. Diiringi pemergian
suaminya dengan linangan air mata dan syukur. Ditabahkan hati untuk
menerima segala kemungkinan yang berlaku.
Tidak lama selepas pemergian Nabi Ibrahim, bekalan makanan dan minuman pun habis. Air susunya juga kering sama sekali.
Anaknya Ismail menangis
kehausan. Siti Hajar hampir buntu. Di mana hendak diusahakannya air di
tengah padang pasir yang kering kontang itu?
Sedang dia mencari-cari sumber
air, dilihatnya dari jauh seperti ada air bertakung. Dia berlari ke arah
sumber air itu. Tetapi apa yang dilihatnya hanyalah fatamorgana.
Namun Siti Hajar tidak berputus
asa. Dari tempat lain, dia ternampak seolah-olah di tempat di mana
anaknya diletakkan memancar sumber mata air.
Dia pun segera berlari ke arah
anaknya. Tetapi sungguh malang, yang dilihatnya adalah fatamorgana.
Tanpa disedari dia berulang-alik sebanyak tujuh kali antara dua bukit,
Safa dan Marwa untuk mencari sumber air.
Tubuhnya keletihan berlari ke
sana ke mari mencari sumber air, namun tiada tanda-tanda dia akan
mendapat air. Sedangkan anak yang kehausan itu terus menangis sambil
menghentak-hentakkan kakinya ke bumi. Tiba-tiba dengan rahmat Allah,
sedang Siti Hajar mencari-cari air, terpancutlah air dari dalam bumi di
hujung kaki anaknya Ismail.
Pada waktu itu gembiranya hati
Siti Hajar bukan kepalang. Dia pun mengambil air itu dan terkeluar dari
mulutnya, “Zami, zami, zami..” yang bermaksud, berkumpullah, kumpullah.
Seolah-olah dia berkata kepada air itu, “Berkumpullah untuk anakku.”
Semoga daripada kisah ini kita mendapat sesuatu yang boleh kita ambil iktibar dan juga pengajaran.
No comments:
Post a Comment