Kehidupan...

Kehidupan umpama perjalanan sebuah kereta yang bergerak ke destinasi yang hendak di tuju dan akan berhenti sekiranya telah sampai...
Begitu la kehidupan...akan berhenti bila tiba masanya...

Jaga Diri...Jaga Hati...Jaga Iman...Hiasi Peribadi..
PERUBAHAN BERMULA DARI DIRI SENDIRI...
Photobucket

Monday, November 7, 2011

Taman Dalam DIRI


Seorang muslim adalah pemilik sebuah taman yang indah. Dia menikmati kehidupan di dunia ini walaupun di hadapannya adalah cubaan dan ujian hidup yang penuh rencam dan ragam. Dia menikmati kehidupan kerana dia sedang berada di sebuah taman indah yang penuh tenang dan harmoni.


Taman itu adalah taman iman. Ia terbina tanpa sedar di dalam diri orang yang beriman. Ia pastinya tidak boleh dilihat dengan mata kasar atau dipegang dengan tangan. Tetapi ia tetap menjadi sebuah taman yang memenuhi maksud pembinaan sebuah taman ia mencetuskan kesegaran dan menikmati keindahan dalam kehidupaan dan saat ketikanya menjadi tempat berlindung daripada hiruk pikuk kekacauan dan kebengitan hidup. Tidakkah sebuah taman yang dibina secantiknya di dunia ini kadang-kadang tidak pun membahagiakan pemiliknya? Dia memilikinya tetapi hidupnya sendiri penuh kesedihan dan kesengsaraan. Dia berjalan-jalan di tamannya itu, tetapi dia tidak pernah gembira dan menikmati segala isi taman yang dibina secantiknya itu.

Ertinya sebuah taman yang indah hanyalah berfungsi apabila ia mampu membuang kesengsaraan di dalam hati, bukan sekadar membeliakkan mata dengan keindahan dan kesegarannya itu. Jika tidak, semua taman itu tidak ubah seperti sebuah hospital yang gagal membuang sebarang penyakit walaupun diisi peralatan perubatan yang canggih dan hebat.

Semuanya kerana kehidupan ini bermula dari hati yang berada di dalam jantung yang dipagari jasad diri seorang manusia. Hati itulah enjin yang menggerak dan menjana kehidupan lahiriyah manusia. Di dalamnya manusia mengisi maklumat dan pegangan kehidupan lalu terciptalah sebuah pandangan hidup yang akhirnya membina sebuah laluan hidup yang akan dilaluinya sepanjang masa.


Laluan itulah yang membina taman buat orang yang beriman. Dia berjalan di dunia zahir ini, tetapi hakikatnya dia berjalan di dalam taman miliknya sendiri di dalam dirinya. Walau susah dan walau sukarnya kehidupan zahirnya, dia tidak pun kecewa dan berputus asa kerana tamannya tak pernah terjejas dan rosak oleh ancaman dan ujian lahiriah yang ditempuhinya. Tiada siapa pun akan mengganggu dan merosakkan tamannya itu. Kita mungkin sukar menggambarkannya atau memahami hakikat wujudnya taman dalam diri sendiri. Kita biasa berbicara mengenai iman di dalam dada, tetapi kita jarang memahami atau melihat hakikat bahawa iman itu sebenarnya juga adalah sebuah taman. Sebabnya mungkin kita jarang berusaha mentamsilkan atau menjasadkan sesuatu yang batiniyah dan metafizikal sifatnya. Sesuatu yang tidak nampak akan lebih difahami jika kita mampu membina sebuah perummaan dengan sesuatu yang lahir dan boleh dilihat. Pernahkah anda
mendengar Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam telah mengumpamakan agama Islam adalah ibarat sepohon tamar? Lihat, dengan mencongak kelebihan dan sifat pohon tamar, kita akan melihat bagaimana agama Islam itu terbina dan memberi kemanfaatan kepada manusia.

Begini, agar kita lebih memahami, di akhirat nanti orang-orang yang beriman dijanjikan Allah dengan sebuah taman yang luas dan serba indah. Namanya syurga. Mengapa janji syurga? Mengapa persembahan iman yang luhur daripada kita di dunia ini tidak diganti dan diganjari dengan iman yang lebih luhur dan lebih agung? Tidakkah iman itulah yang paling mulia dan berguna? Atau iman di dunia diganjari dengan hidup semula di dunia ini yang lebih baik sebagaimana kepercayaan beberapa ugama lain di dunia ini? Mengapa kita diganjari dengan sebuah taman yang indah jika baik amalan kita dan jika buruk amalan di dunia, kita ditakutkan dengan pembalasan sebuah kawah api yang besar iaitu neraka?

Jawabannya adalah kerana iman itu sebenarnya adalah taman yang kita bina di dunia. Taman dibalas taman kerana ia adalah iman yang dibalas iman. Justeru di akhirat nanti tiada ganjaran paling tepat yang layak diterima oleh manusia beriman selain sebuah taman yang dibina Allah untuk mereka. Kita hanya perlu masuk dan menikmatinya sepuas-puasnya sebagai sebuah pembalasan yang hebat dan sempurna.

Begitulah balasan. Kita bina di dunia, lalu Allah membina untuk kita di akhirat nanti. Kita membina iman di dunia yang kewujudannya tidak dilihat, lalu balasannya di akhirat nanti adalah iman yang boleh dilihat dan dinikmati secara zahir. 

Pahala dan dosa tidak boleh dilihat di dunia, tetapi di akhirat nanti pahala dan dosa boleh dilihat, diukur dan ditimbang. Malaikat dan iblis tidak boleh dilihat di dunia, tetapi di akhirat nanti mereka boleh dilihat semudah dan seterang-terangnya. Yang ghaibiyat di dunia hari ini adalah yang nyata, masyhudah dan tersaksi di akhirat nanti. Begitulah juga rupanya kufur dan syirik. Ia tidak dilihat fizikalnya di dunia sedangkan hakikatnya dizahirkan di akhirat nanti sebagai sebuah kawah api yang membakar yang penuh sengsara. 

Apabila kita memahami ini, maka tiba masanya kita melihat dan memasuki taman iman yang kita sebagai seorang yang beriman telah binanya di dalam diri kita. Dan hakikatnya, kita sedang berlari-lari di sekelilingnya menikmati apa yang telah kita bina itu. Apakah isi-isi atau tanam-tanaman yang telah kita sirami dan hiasi taman kita itu semoga kita mampu terus menjaganya, memugarinya dan menyuburkannya sentiasa untuk dinikmati kesegaran dan ketenangannya sepanjang hayat. Saya akan melorongkan anda untuk melihat beberapa sudut taman yang begitu menonjol.


Pertama, ilmu pengetahuan. Islam mengagungkan ilmu dan memuliakan orang yang berilmu. Kemudian, Islam menyuruh umatnya meneroka sehingga mencapai ilmu hakikat sesuatu. Ini kerana ketenangan jiwa hakikatnya bermula daripada ilmu dan maklumat yang hakiki dan benar yang diperolehi oleh manusia.
Ilmu itu makanan untuk diri manusia dan kewujudannya. Tanpa ilmu manusia bertukar menjadi haiwan yang akan merosakkan kehidupan sendiri dan muka bumi. Islam datang dengan dua pakej di atas iaitu mengagungkan ilmu dan menyeru kepada ilmu yang hakiki, benar dan bermanfaat. Ia keistimewaan yang tiada dimiliki oleh seluruh ajaran dan ugama manusia di dunia ini.

Bangsa Eropah walaupun kaya dengan ilmu, tetapi mereka gagal membina satu disiplin yang tinggi untuk memisahkan ilmu yang salah daripada yang benar. Akhirnya, dengan berpegang dan membina pandangan berdasarkan ilmu yang salah, mereka akan dilanda pelbagai persoalan yang tak terjawab di samping kekeliruan yang memeningkan. Sebagai contoh, walaupun mereka percaya kepada ketuhanan ‘trinity’, tetapi ilmu, kajian dan logika yang mendalam semakin mengelirukan mereka sendiri di dalam meyakini kebenaran pegangan mereka sendiri. Kesannya, mereka berpegang pada kepercayaan yang gagal dinikmati keseronokannya dan dirasai ketenangannya.

Islam dan iman yang dibina di atas ilmu yang benar adalah sebaliknya. Semakin didasari lautan ilmunya, semakin digali kedalamannya, semakin bersinar-sinarlah mutiara kebenaran dan semakin teguhlah kepercayaan yang dibina itu. Akhirnya orang-orang yang beriman seolah-olah sedang menari-nari di taman diri yang begitu indah dan mengasyikkan.


Kedua, mengenali Allah. Ini adalah kemuncak pembudayaan menuntut ilmu dan mengagungkannya yang disarankan oleh agama Islam. Manusia akan mencapai kemanisan hidup apabila dia, melalui pencarian ilmu dan penerokaan terhadap alam dan kewujudan, akhirnya menemui permulaan segala sesuatu yang tiada apa lagi sebelumnya dan pengakhiran segala sesuatu yang tiada apa lagi selepasnya. Dia menemui Allah sebagai pencetus kewujudan dan penciptanya. Sudah pasti ia adalah penemuan dan pengenalan terhadap ghaibiyyat yang nyata dan hebat yang tidak mungkin ditemui kecuali dengan petunjuk dan suluhan hidayat tuhan yang maha berkuasa itu.

Allah adalah hakikat kewujudan. Mengenali dan mengingatiNya adalah sumber ketenangan dan kebahagiaan. Memiliki ilmu mengenali Allah adalah bagai permata kehidupan tiada nilai taranya. Apatah, semakin diburu ilmu, semakin pula dilihat dan dikenali Allah yang maha penuh dengan rahsia kebesaran, keagungan dan kekuasaan. Apabila seorang muslim menggerakkan otaknya untuk bekerja dan berfikir, dia akan menikmati saat-saat itu kerana dia seolah-olah semakin menghampirkan dirinya kepada Allah yang menciptakannya. Begitulah orang-orang yang beriman. Mengenali Allah ibarat suasana segar yang menyelubungi taman hatinya sehingga dia sentiasa menikmati kehidupan di luar tanpa menghiraukan hiruk pikuk kehidupan lahiriyah yang memenatkan.

Ketiga, al Quran. Inilah taman yang indah. Inilah sumur yang jernih dan inilah sumber ilmu dan ilham kehidupan yang menghiburkan. Al Quran adalah perkhabaran langit ibarat hujan yang turun lalu menghijaukan muka bumi dengan kesegaran dan kesuburan. Orang-orang yang beriman akan berebutan datang kepadanya untuk mengambil segala isi dan panduan buat memenuhkan kehidupan mereka dengan dendangan ilmu hakiki dan bermanfaat. Carilah di dunia ini yang seumpama al Quran atau sebahagian daripadanya atau walaupun sekadar satu ayat daripadanya untuk ditandingi kehebatan, kebenaran, keindahan dan kesesuaiannya untuk mengangkat kehidupan manusia. Jawabannya adalah mustahil walaupun ia terus dicabar, ditohmah dan diserang dari pelbagai sudut oleh musuh yang memusuhinya. Mengapa? Ya, kerana al Quranlah sebuah kitab langit yang tiada syak lagi pada ketulenannya daripada Allah. Ia dibuktikan secara ilmiah sebagai kitab yang kekal asli dan disaksikan penjagaan langsung oleh Allah ke atasnya lalu meninggalkan kitab-kitab langit lain yang sudah pun diterima hakikat penyelewengan dan pemalsuan ke atasnya oleh tangan-tangan manusia oleh dunia ilmiah dan para akademia.


Keempat, al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam. Baginda adalah nabi dan qudwah kehidupan. Baginda adalah tafsiran al Quran yang hidup berjalan di muka bumi mengajar dan memandu manusia membina, menikmati dan mensyukuri kehidupan anugerah Ilahi. Baginda adalah bagai gedung akhlak dan budi pekerti mulia yang membekalkan pakaian indah buat membaluti tubuh manusia dengan nilai-nilai kemanusiaan yang menakjubkan yang mengangkat martabat kemanusia di alam malaikat dan samawi.

Rasulullah adalah idola kehidupan orang-orang beriman. Mereka tidak pernah buntu dan kandas menaiki tangga kemulian dek baginda yang sentiasa memberi dorongan dan galakan sepanjang masa, di saat senang dan susah, luas dan sempit,  juga saat mudah dan sukar. Carilah seorang insan yang seumpama baginda dan sesempurnanya yang diikuti segenap gerak dan langkahnya menuju kesempurnaan diri. Sudah pasti kita tidak akan menemuinya.

Kelima, amal yang soleh. Seorang muslim sentiasa subur dan lebat dengan daunan, bungaan dan buah-buahan yang sentiasa menggamit kecintaan dan hiburan. Dia akan sentiasa bersemangat untuk beribadah dan berkhidmat melakukan kebajikan dan kesenangan kepada manusia. Dia memahami diri sebagai seorang khalifah Allah yang mesti berbakti kepada Allah dan makhlukNya. Justeru dia menikmati kehidupan berbakti dan beramal soleh.

Allah memperkenalkan dan menunjuki orang-orang beriman dengan amal dan ketaatan. Solatnya tersemat kekhusyukan, zakatnya menebar kasih sayang, pergerakan dan langkahnya dinanti-nantikan kebaikannya dan jihadnya menghunus keberanian dan keyakinan sejati. 

Demikianlah sebuah jaulah dan santai di taman hati seorang muslim yang beriman kepada Allah. Ia sebuah taman rahsia yang gagal ditembusi unsur yang jahat dan kotor. Sebuah taman larangan yang dikhususkan buat pemiliknya yang inginkan sebuah kehidupan bahagia dan membahagiakan kehidupan itu sendiri. Taman-taman milik para mukminin ini akhirnya akan diterjemahkan dengan pembalasan yang sempurna di akhirat nanti oleh Allah dengan sebuah syurga yang indah seluas langit dan bumi. 

Justeru bersegeralah kita menuju keampunan Allah dan syurganya itu yang disiapkan untuk orang-orang yang bertaqwa kepadaNya. Semoga Allah menunjuki kita di liku-liku kehidupan yang sukar ini. Amin.

(Artikel ini adalah untuk kolum ‘Menuju Akhirat’, majalah Fardu Ain.)

masanya memilih jalan yang lurus - Blog Ustaz Nik Abduh


No comments: